Gay? Kenapa sayang....???

9 Dis 2010



Kesinambungan daripada input Mazidul Akmal Sidik di sini aku terpanggil untuk mencatatkan suara hatiku buat adik-adik yang Islam agamanya, Allah s.w.t. Tuhannya dan Nabi Muhammad Rasulnya.


Untuk adik-adik semua, begini pendapat daripada Kak Liza :-

Tidak salah bernafsu tetapi hendaklah dilampiaskan kepada yang hak, setelah cukup syarat-syaratnya dan mengikut syariat.

Apa yang kalian lakukan itu memang sedap dan seronok bagi yang tahu menikmatinya, tetapi jangan lupa ianya tidak sedap dipandang dan tidak seronok diketahui oleh insan yang seagama tetapi tidak sealiran dengan kalian. Hati kita sama, tetapi tidak serupa.

Ya, kalian khilaf di mata kami dan kami amat sedar kalian kecil hati dengan ketidakfahaman kami terhadap naluri kalian.

Tetapi bukankah kita bersaudara? Berlandaskan Islam yang syumul dan sebagai tanda sayang sesama kita, tegur-menegur adalah 'bunga jiwa'. Kesudian menerima teguran dan mengakui kekhilafan diri adalah 'madu dan susu' kepada hati.



Adik-adik, kenapa terlibat di alam Gay?
Adakah :-
  • "Ala, kalau aku kawan dengan anak dara, bila nafsu bergelora aku tak sanggup la nak rosakkan anak dara orang. Kalau sesama kaum tak luak apa-apa pun..."
  • "Cuba ngko jawab, kalau berkawan dengan perempuan bukan ke diaorang nak kita cepat-cepat kahwin dengan diaorang?" "Aku mana cukup duit lagi, kerjapun baru 3 bulan dowh..." "Kalau dengan kita-kita ni kan senang..., takde komitmen..."
  • "Perempuan lecehlah... sikit-sikit merajuk cam mangkuk tingkat, sikit-sikit cemburu cam senduk bengkok!" "Aku tak retilah nak jadi plastik... aku ORI tau... ngko tak nampak ke?" "Eh, ngko buta yek?"
  • "Aku sebenarnya straight, tapi si Cipan tu kawan aku dunia akhirat, bila aku sempit duit dia ringankan, bila aku rungsing frust menonggeng dengan si N badan kerengga dia tenangkan, bila aku menangis nyaris tak buta dek ditinggalkan si Z pun dia yang tiup semangat." "Walaupun aku terkejut kali pertama dia bawak aku kat Kelab ni tapi... mengenangkan budi si Cipan, aku pasrah..."
  • "Inilah zaman millenium! Rugi kalau tak enjoy menikmati syurga dunia... Hidup hanya sekali..." "Nanti aku berubahlah, aku ingat lagi Cikgu BM misai melintang kata "sedangkan pantai lagikan berubah, inikan pulak hati orang..."



Adik-adik,

Jika 'hijrah' kalian kerana salah satu sebab yang tercatat di atas, kalian adalah hebat! Tidak bermakna ianya bagus tetapi kita tidak perlu menjadi hebat di dalam kapasiti itu semata-mata untuk didebatkan.


Tiada siapa di antara kita di muka bumi ini yang tidak pernah melakukan kekhilafan. Samada sedar mahupun di bawah sedar kita sering melakukan perkara yang bathil. Maka, hari ini, di saat ini, berlandaskan kepada agama yang kita sayangi, maka Hijrahkanlah jasad, roh dan naluri adik-adik kepada yang hakiki.



Tiada istilah "semuanya sudah terlambat". Cepat atau lambat, mahu atau tidak bukan ukuran untuk kita keluar daripada 'comfort zone' yang sebenarnya lebih hangat daripada dingin. Sekarang! Ya, sekarang. It's now or never! (pinjam kata salah seorang motivator K.Liza, Dr. Azizan Osman).



Minta maaf jika tiada satupun perkara di atas menepati alam bak 'kasturi' yang kalian huni kini.


Buat seorang atau dua yang terdetik hati mahu memulakan lembaran baru di Ma'al Hijrah ini mari kita cuba satu teknik yang Kak Liza adaptasikan daripada ajaran motivator dan digabungkan dengan teknik K. Liza sendiri :-

Duduk di atas kerusi dengan selesa, tapak kaki rata di lantai, kedua tangan di sisi atau di atas peha lalu ikuti langkah-langkah berikut :-
  • Pejamkan mata, tarik nafas dalam-dalam dengan perlahan kemudian hembuskan perlahan-lahan. Ulangi beberapa kali hingga anda berasa tenang dan relaks.
  • Ucap Syahadah/Mengucap berulang kali di dalam hati dengan perlahan-lahan hingga bergerak lidah dan bibir hingga telinga mendengar suara sendiri. Rasakan getar Syahadah itu hingga ianya menyatu di dalam hati dan menggetarkan jantung anda.
  • Pasang niat untuk berubah ke arah kebaikan dan setkan target anda dengan lengkap. Contoh : "Aku, Muhammad Yusuf Bin Muhammad Ali pada hari ini 9hb Disember 2010, jam 10 pagi mahu mengubah cara hidupku daripada X kepada Y dan sesungguhnya aku memohon rahmat dan hidayah-Mu menunjukkan aku ke jalan yang benar Ya Allah". Ulangi sehingga anda benar-benar merasai getarannya. Jika anda benar-benar insaf dan merasai getarannya, air mata akan menitis secara semulajadi.
Cubalah, InsyaAllah...


Al-kisahnya..., Setiap tanda pangkah boleh berubah menjadi tanda rait (betul ke ejaan ni?), Setiap gelengan mungkin menjadi anggukan, setiap yang rutin boleh sahaja diabai kerana berfikir 2X itu orang yang bijak...

Pembuka kata, pemecah bicara...

5 Dis 2010


Assalamualaikum dan Salam kenal,

Terima kasih diucapkan kepada anda kerana sudi menjengah dan berziarah di blog yang tidak seberapanya ini (tersirat : aku sesungguhnya memang tidak pandai berblog dan mereka blog…).


Untuk rekod, laman blog ini dicipta semenjak tahun 2008 dengan hasrat untuk mewar-warkan perniagaan sambilanku, malangnya dek kerana tuntutan kerja dan pelbagai urusan seharian yang perlu dilunaskan, aku bagaikan petani yg lupa membajai dan membelai tanamanku! Blog ku bagaikan permata yang kehilangan sinarnya, bagaikan bilik bacaan yg kekurangan buku-bukunya… (tersirat : Sehinggakan niatku untuk klik sana, klik sini bagi menambah isi dan memperelokkan rupa Blog ini bagaikan menanti buah yang tidak gugur).


Kini, dengan keinginan yang memuncak, blog ini telah kembali bernyawa – Tidaklah menarik dan hebat seperti rakan Bloggers yg lain tu… Ramai Bloggers yang dapat mengWOW!kan diriku dengan pengisian yang menarik, berfakta dan cukup berinformasi untuk dijadikan panduan dan teladan.


Jadi, apa yang akan anda perolehi di Blog ini?

(1) Pengisian umum dan aktiviti – daripada sudut pandangan mata dan mata hati berkaitan dengan kehidupan juga daripada hal ehwal semasa moga-moga mendatangkan kebaikan dan bermanfaat buat bacaan diriku sendiri dan pembaca sekalian – Apa yang baik jadikan teladan, manakala yang sebaliknya jadikan sempadan.

(2) Perniagaan – Sila rujuk di Halaman yang memaparkan beberapa pilihan produk yang menjadi pilihanku untuk diniagakan – Jika sudi, berurusniagalah denganku seadanya.


Ingatan mesra daripadaku : Tiada paksaan untuk menyukai hasil tulisanku – mari kita buka hati dan minda berkongsi pendapat dan rasa, tak kenal maka tak cinta ye tak..? Tiada paksaan untuk berjual-beli denganku, usah jadikan perniagaan sebagai batu penghalang untuk kita bersilaturrahim. Kesudian kalian menjengah, berukhuwah dan bertukar-tukar pendapat denganku adalah sesuatu yang hebat dan amat kuhargai!


Di kesempatan ini aku mengucapkan

TERIMA KASIH! TERIMA KASIH! TERIMA KASIH!

yang tidak terhingga kepada penama-penama berikut yg telah membantu memberikan nyawa, menabur warna dan berkongsi rencah ke dalam pembinaan blog ini :-

  • Haslan Bin Hairi – Suami yang ku hormati kerana mengizinkan aku berblog.
  • Mohd Faizul Irwan – Sahabat yang telah membina asas laman Blog ku pada tahun 2008.
  • Faizatul Akmal – Sahabat yg turut memberi input pada tahun 2008.
  • Rosnah Binti Mahmood – Kakak ku yg banyak membantu aku mengemaskini Blog.
  • Wan Harleena – Jiran yang disayangi yang turut memberikan beberapa panduan asas.
  • Syarifah Noor - Rakan Blogger yang turut memberikan tip-tip berguna.


Budi baik kalian mencurahkan ilmu amatlah dihargai – “Pisang Emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati…”


Al-kisahnya…, Usah bantutkan kehendak dan minat hanya kerana kita tidak mahir di dalam sesuatu perkara – Menuntut ilmulah kamu walaupun sampai ke Negara China, walau berapa pun usia mu.

Usah berdiam kepada yang perlu.